BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Monday 31 May 2010

Kasih Sayang 2

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
ثُمَّ كَانَ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡمَرۡحَمَةِ
Maksudnya:

"Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, dia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang. "(Surah Al-Balad, ayat 17)


Kasih sayang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan makhluk yang melata di muka bumi ini samada dia bergelar insan atau pun binatang. Cuma tahap kasih sayang yang membezakan antara satu sama lain.

Tiada manusia yang benci kepada kasih sayang walau sekejam mana pun dia namun hati nuraninya turut merindui belaian kasih sayang daripada insan lain. Berapa banyak jiwa yang melayang kerana hilangnya peri kemanusiaan dalam diri dan berapa ramai yang menjadi mangsa fitnah setelah lenyapnya kasih sayang sesama sendiri.

Negara dikejutkan dengan ibu atau bapa sanggup menikam serta mengelar anak sendiri manakala anak pula menetak ibu atau bapa.Itu belum dikira dengan pencabulan dan pembunuhan terhadap perempuan termasuk pelajar sekolah. Apakah yang merasuk dan meresap ke dalam jiwa mereka sehingga sanggup melakukan jenayah yang kejam ini.


Nabi pernah berpesan bagaimana tidak sempurna iman seseorang itu sehinggalah dia mengasihi orang lain sebagaimana dia mengasihani dirinya sendiri. Apa yang dia suka diperlakukan ke atasnya begitu juga apa yang dibenci berlaku kepadanya maka perkara yang sama juga mesti diraikan terhadap orang lain.

Jangan perkara yang elok hanya mesti dilakukan kepadanya sedangkan dirinya tidak pernah menghormati perasaan orang lain. Rasulullah s.a.w sendiri ketika menjawab pertanyaan seseorang yang baru memeluk Islam di mana dia meminta keizinan untuk berzina lalu nabi dengan lembut bertanya kepadanya tentang kesanggupannya jika ada orang lain yang berzina dengan ibu atau saudara perempuannya. Lantas dia menjawab bahawa dia akan membunuh sesiapa yang berani berzina dengan ibu atau saudara perempuannya maka Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa perkara itulah juga yang dirasai oleh lain apabila ada dikalangan keluarganya yang diaibkan.

Islam telah meletakkan garisan yang jelas tentang kasih sayang di mana kita mestilah berkasih sayang kerana Allah. Bertemu kerana Allah dan berpisah pun kerana Allah.

Banyak kisah yang menyedarkan kita bagaimana nikmatnya jika berkasih sayang kerana Allah antaranya bagaimana kisah 2 persahabatan di mana salah satunya bersahabat kerana Allah manakala yang satu lagi kerana dunia semata-mata.

Akhirnya salah seorang yang bersahabat kerana Allah meninggal dunia di mana semasa berada di dalam kubur dia dapat merasai nikmat kubur lalu dia merasakan bahawa kawannya yang masih hidup telah banyak berdoa kepadanya. Dia turut berdoa agar kawannya yang masih hidup dapat hidup dalam keadaan bahagia di bawah bumbung rahmat dan kasih sayang Allah. Kemudian kawannya itu pula meninggal dunia lalu mereka berdua bertemu di dalam kubur dan saling memuji antara satu sama lain.Si yang telah lama mati memuji kawannya kerana banyak berdoa kepadanya yang membolehkan dia memperolehi nikmat kubur manakala kawannya yang baru mati pula memujinya kerana banyak berdoa sehingga dia dapat merasai kebahagian hidup dan senang selepas mati.


Kisah dua orang yang bersahabat kerana dunia semata-mata pula di mana apabila salah seorang daripadanya telah meninggal dunia lalu dia disiksa di dalam kubur yang menyebabkan dia mengutuk kawannya yang masih hidup atas alasan sebab kawannya itulah dia tersiksa. Apabila kawannya itu pula mati lalu mereka bertemu dan saling mengutuk antara satu sama lain di mana masing-masing saling menuduh bahawa kawannya itulah yang menyebabkan mereka lalai dengan dunia yang membawa kepada mereka terseksa di dalam kubur.

Semoga kisah ini dapat membuka lagi hati nurani kita untuk meletakkan kasih sayang pada tempat yang betul dengan mengikut neraca Islam. Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat.



Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang


0 comments: