بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Hakikat Ibadah
Ibadah bererti, patuh dan tunduk yang mutlak serta penyembahan yang menyeluruh kepada yang disembah (ma'bud).
Ibadah dalam Islam bererti: kepatuhan yang mutlak kepada Allah s.w.t. semata-mata, tanpa mempersekutukan Allah s.w.t. dalam penyembahan dan ibadah kepada-Nya.
Dari makna yang ringkas tentang ibadah tersebut, dapatlah kita pastikan bahawa, ibadah dalam erti kata lain ialah, penyembahan dan kepatuhan mutlak kepada Allah s.w.t.. Namun, intipati utama yang menyebabkan Allah s.w.t. menerima ibadah kita ialah: "ikhlas".
Hakikat Ikhlas
Para ulama' banyak membincangkan tentang pengertian ikhlas, dalam karangan-karangan mahupun ucapan-ucapan mereka. Cukuplah kita pilih pengertian ikhlas yang ringkas agar memudahkan kita yang didalam golongan awam memahaminya.
Ikhlas ialah, mengharapkan semata-mata Allah s.w.t. dan keredhaanNya, dalam segenap ibadah kita. Dalam erti kata yang lebih jelas, ikhlas bererti, kita beramal ibadah dan memenuhi segala tuntutan Allah s.w.t. demi mengharapkan keredhaan-Nya.
Hal ini sangat jelas, umpama seorang hamba kepada seorang tuan. Si hamba tersebut sudah tentu memenuhi segala perintah tuannya untuk meraih keredhaan dan kasih sayang tuannya. Apatah lagi, kita semua adalah hamba-hamba Allah s.w.t., yang hidup di dunia ini hasil dari ciptaan Allah s.w.t. serta rahmat dan nikmat dari-Nya. Tidakkah kita lebih utama mematuhi segenap perintah Allah s.w.t. dan menjauhi segala larangan-Nya demi semata-mata mengharapkan redha Allah s.w.t. yang telah menciptakan kita dengan rahmat dan kemurahan-Nya?
Nah, itulah erti ikhlas dalam ibadah, di mana ibadah seseorang tidak akan diterima oleh Allah s.w.t. melainkan dengannya (ikhlas tersebut).
Sebahagian para ulama' membahagikan ikhlas dengan beberapa darjat, berdasarkan ijtihad dari kefahaman mereka terhadap Al-Qur'an dan As-Sunnah. Kita pilih pembahagian kebanyakkan ulama' Islam iaitu (seperti dalam kitab jauharatu at-Tauhid):
Peringkat ikhlas yang paling tinggi: Beribadah semata-mata mengharapkan Allah s.w.t. dan keredhaan-Nya. Tiada terlintas dihatinya beribadah kerana nikmat syurga, takutkan azab neraka, dan sebagainya. Inilah darjat ikhlas yang paling sempurna.
Peringkat ikhlas yang kedua: Beribadah kepada Allah s.w.t. sambil mengharapkan nikmat syurga dari Allah s.w.t. atau takutkan siksa Allah s.w.t.
Peringkat ikhlas yang ketiga (paling rendah): beribadah kepada Allah s.w.t. untuk mendapatkan rahmat dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Adapun ikhlas yang paling sempurna dalam ibadah kepada Allah s.w.t. ialah, "beribadah semata-mata mengharapkan keredhaan dan kasih sayang Allah s.w.t. tanpa mengharapkan kenikmatan syurga daripada ibadah tersebut".
Hanya orang yang jahil sahaja yang mempersoalkan, mengapa ada peringkat-peringkat dalam ikhlas?
Adakah sama di sisi Allah s.w.t., antara orang yang beribadah kepada Allah s.w.t. semata-mata ingin meraih cinta Allah s.w.t. tanpa sedikitpun menginginkan sebarang kenikmatan syurga dari ibadah tersebut, dengan orang-orang yang beribadah kepada Allah s.w.t. hanya kerana kemaslahatan diri mereka, iaitu untuk kenikmatan syurga?
Sudah tentu berbeza antara orang yang beribadah kerana cintakan Allah s.w.t. dan mengharap balasan cinta dari Allah s.w.t. dengan orang yang beribadah kerana mahukan ganjaran-ganjaran dari Allah s.w.t. Hal ini sangat jelas menurut akal mahupun naql (nash-nash dari Al-Qur'an dan As-Sunnah).
Bukankah kita sudah ketahui bahawa, di kalangan hamba-hamba Allah s.w.t. itu sendiri, darjat antara satu sama lain di sisi Allah s.w.t. berbeza? Bukankah setiap mu'min itu muslim, dan bukan setiap muslim itu mu'min. Nah, jelaslah ada darjat-darjat antara hamba-hamba Allah s.w.t. di sisi Allah s.w.t. sesuai dengan niat dan ibadahnya. Jadi, mengapa pula tiada perbezaan antara orang beribadah hanya yang mengharapkan cinta Allah s.w.t. dengan orang yang mengharapkan ganjaran Allah s.w.t. dari amalan mereka?
Konsep "beribadah hanya semata-mata mengharapkan Allah s.w.t. tanpa mengharapkan nikmat syurga dari ibadah tersebut", Menurut Al-Qur'an dan As-Sunnah.
Allah s.w.t berfirman dalam Al-Qur'an: "Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesuatupun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (Surah Al-Kahfi: 110)
Di sini, Allah s.w.t. menjelaskan sifat sebenar orang-orang yang mengharapkan pertemuan dengan Allah s.w.t., iaitu, tidak mempersekutukan sesuatupun dalam ibadah dan penyembahannya kepada Allah s.w.t. dengan sesuatu yang lain, dalam tujuan beribadah tersebut. Bukankah mengharapkan syurga Allah s.w.t. dalam ibadah merupakan salah satu bentuk penyembahan kepada Allah s.w.t. dengan mengharapkan sesuatu selain Allah s.w.t., (walaupun bentuk tersebut tidak tercela menurut ulama' aqidah Islam, tetapi ianya tetap merupakan simbol ibadah yang tidak sempurna).
Di ayat tersebut juga menunjukkan sifat seseorang yang beriman kepada Allah s.w.t. dan mengesakan Allah s.w.t. dalam ibadahnya kepada-Nya, iaitu, "mengharapkan pertemuan dengan Allah s.w.t."
Apakah yang dapat difahami dari seseorang hamba yang mengharapkan pertemuan dengan Allah s.w.t., yang menjadi sifat sempurna orang yang beriman? Kalaulah seseorang itu beribadah semata-mata mengharapkan syurga Allah s.w.t., adakah setelah kematian nanti, dia mengharapkan pertemuan dengan Allah s.w.t. ataupun mengharap pertemuan dengan syurga Allah s.w.t.? Ingatlah bahawa, kenikmatan orang-orang yang ingin bertemu dengan Allah s.w.t. ialah sewaktu melihat Allah s.w.t. setelah dimasukkan ke dalam syurga Allah s.w.t (seperti yang diceritakan dalam Sahih Al-Bukhari), bukan terhenti setakat mengharapkan syurga Allah s.w.t. semata-mata.
Maka, ada dua petunjuk dari ayat tersebut menunjukkan bahawa, seorang hamba yang sejati ialah, yang mengharapkan Allah s.w.t. semata-mata dalam ibadah mereka, yang lahir daripada itu, kerinduan untuk bertemu dengan Kekasih-nya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Kita juga sering mengungkapkan suatu ayat Al-Qur'an yang masyhur di awal setiap solat kita iaitu: "Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah s.w.t."
Nah, kalaulah kita perlu beribadah untuk syurga Allah s.w.t., mengapa Tuhan s.w.t. tidak mengajarkan kepada kita lafaz "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku kerana (untuk) mendapat nikmat syurga Allah s.w.t. atau untuk menjauhi neraka Allah s.w.t.?
Tuhan s.w.t. tidak pernah menyuruh kita untuk beribadah untuk mengharapkan ganjaran dan kepentingan selain dari mengharapkan keredhaan Allah s.w.t..
Terlalu banyak lagi ayat-ayat Al-Qur'an yang menegaskan tentang, tujuan kita beribadah semata-mata mengharapkan redha Allah s.w.t., bukan mengharapkan ganjaran-ganjaran yang bakal diberikan kepada para hamba-Nya yang taat, dari ibadah tersebut. Di kesempatan yang ringkas ini, cukuplah sekadar ayat-ayat yang telah kita nukilkan, menunjukkan niat dan tujuan kita beribadah hanyalah semata-mata kerana Allah s.w.t., bukan kerana syurga atau neraka.
Rasulullah s.a.w. pula pernah bersabda dalam suatu hadis sahih: Sesungguhnya, amal perbuatan bersesuaian dengan niat. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, maka hijrahnya untuk Allah s.w.t. dan Rasul-Nya..." (Hadis Sahih).
Petunjuk yang dapat difahami dari hadis tersebut ialah, tentang niat kita dalam sesuatu amalan. Maka, Rasulullah s.a.w. memberi contoh hijrah dalam menjelaskan maksud utama sabda Baginda s.a.w. Maka, Baginda s.a.w. menjelaskan bahawa, barangsiapa yang berhijrah bertujuan kerana Allah s.w.t. dan mengikuti perintah Rasul-Nya (s.a.w.), maka hijrahnya sesuai dengan apa yang diingininya dan diterima Allah s.w.t. Hadis ini jelas menunjukkan bahawa, tujuan amal ibadah kita ialah kerana mengharapkan redha Allah s.w.t., bukan untuk mengharapkan nikmat syurga.
Banyak juga hadis-hadis lain yang menceritakan bahawa, TUJUAN BERIBADAH hanyalah kerana Allah s.w.t. semata-mata. Namun, tidak cukupkah satu hadis yang sahih lagi masyhur dan jelas, untuk menunjukkan kepada kita bahawa, Rasulullah s.a.w. turut mengingatkan kita supaya beribadah semata-mata kerana Allah s.w.t. dan sebagai simbol kepatuhan kita kepada Rasulullah s.w.t., yang menjadi tanda kecintaan kita kepada Allah s.w.t.
Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.
0 comments:
Post a Comment