BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »
Showing posts with label aqidah. Show all posts
Showing posts with label aqidah. Show all posts

Thursday, 13 January 2011

Tuntutan Istiqomah Ke atas Setiap Mukmin


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.



Setelah diperintahkan supaya beriman sepenuh hati kepada Allah, kita diperintahkan pula beristiqamah. Arahan supaya istiqamah ini terkandung juga di dalam al-Quran di mana Allah berfirman;

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ(112)

“Maka beristiqamahlah kamu sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan”. (Hud: 112)


Maksud Istiqamah ialah tetap dan teguh di atas jalan yang benar iaitu jalan Islam. Menurut Imam al-Minawi dalam kitabnya “Faidhul Qadir”; Istiqamah bermaksud tunduk-patuh kepada segala yang diperintahkan dan menjauhi segala tegahan. Ada ulama’ yang mentakrifkan istiqamah sebagai; berterusan beramal dengan sunnah Nabi Muhammad s.aw. dan berakhlak dengan akhlak yang diredhai (Allah). Ada yang mentakrifnya sebagai; mengikuti (sunnah Nabi s.a.w.) dan meninggalkan bid’ah. Ada juga mengertikannya dengan; meletakkan diri di atas akhlak al-Quran dan as-Sunnah.


Untuk terhasilnya Istiqamah seseorang itu tidak dapat tidak mestilah berpegang-teguh dengan kitab Allah dan sunnah NabiNya. Dua sumber inilah yang berupaya mengikat manusia agar sentiasa berada di atas jalan yang benar. Selagi manusia berpegang teguh dengan al-Quran dan juga sunnah Nabi, selagi itulah ia dijamin oleh Rasulullah s.a.w. akan bebas dari penyelewengan dan kesesatan. Sabda Rasulullah s.a.w.;

يا أيها الناس،
إني قد تركت فيكم ما إن اعتصمتم به فلن تضلوا أبدا: كتاب الله، وسنة نبيه

“Wahai sekelian manusia! Sesungguhnya aku telah tinggalkan untuk kamu sekelian satu peninggalan yang selagi kamu berpegang-teguh dengannya maka selagi itulah kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”. (Hadis riwayat Imam al-Hakim dari Ibnu ‘Abbas)


Luqman dalam wasiatnya kepada anaknya telah berpesan;

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَابُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ(13)

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan (Allah) sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”. (Luqman: 13)


Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang



Friday, 12 November 2010

Aku Naik saksi

  Allah-eser-green.png
Islam
Rukun Iman
Allah · Kitab · Malaikat · Nabi
Hari Akhirat · Qada dan Qadar
Rukun Islam
Syahadah · Solat · Puasa
Zakat · Haji
Kota Suci
Makkah · Madinah
Baitulmuqaddis
Hari Raya
Aidilfitri · Aidiladha
Hukum
Quran · Sunnah · Hadis
Sejarah
Garis Masa Sejarah Islam
Khulafa al-Rasyidin
Khalifah · Khilafah
Tokoh Islam
Nabi Muhammad s.a.w
Ahlul Bait · Sahabat Nabi
Mazhab
Ahli Sunah Waljamaah
Hanafi · Syafie
Maliki · Hanbali
Budaya Dan Masyarakat


Halaqahnet
Portal Islam

Syahādah (الشهادة), atau ucapan kepercayaan, adalah pernyataan kepercayaan dalam keesaan Tuhan (Allah) dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasulnya. Mengucap dua kalimah syahadah merupakan salah satu daripada lima Rukun Islam. Apabila dinyatakan dengan kuat secara ikhlas, seseorang itu secara rasmi dianggap mengisytiharkan diri sebagai penganut baru Islam.


  • Teks bahasa Arab:
    • لا إله إلا الله محمد رسول الله
  • Transliterasi:
    • LA ILAHA ILALLAH MUHAMMAD RASULULLAH.
  • Terjemahan bahasa Melayu
    • Tiada Tuhan Melainkan Allah; Muhammad Itu Pesuruh Allah.
Pengucapan syahādah secara jujur, dalam Bahasa Arab, di hadapan dua orang saksi Muslim, adalah cukup untuk seorang menjadi seorang Islam menurut kebanyakan sekolah-sekolah tradisional.
Biasanya frasa أشهد أن 'ašhadu 'an = "Saya bersaksi bahawa" ditambahkan di awal kedua-dua Syahadah.


Syarat sah syahadah

Bagi seseorang yang bukan Islam mengucapkannya beserta kepercayaan di dalam hati, maka terpelihara diri, harta dan nyawa seperti orang Islam.

Syarat bagi sahnya syahadah adalah:
  1. Tertib lafaz syahadah seperti yang dinyatakan.
  2. Melafazkan kedua-dua kalimah syahadah dengan berturut-turut (tanpa diselangi perbuatan lain)
  3. Mamahami makna kedua-duanya.
  4. Mendustakan perkara yang menyalahi atau bertentangan dengan maksud syahadah.
  5. Menggunakan perkataan "asyhadu" (ﺃَﺷْﻬَﺪُ) pada keduanya.
  6. Tidak syak atau ragu-ragu akan kedua-duanya.


Hak Syahadah Setelah seseorang mengucapkan syahadah maka wajib bagi beliau menunaikan hak kalimah. Hak kalimah adalah untuk disebarkan kepada mereka yang tidak mengucapkan kalimah(orang bukan Islam) dengan menerangkan kepada mereka maksud kalimah iaitu Tiada Tuhan selain Allah, Tiada yang Berkuasa selain Allah, Tiada yang beri faedah dan bahaya selain Allah dan Muhammad(saw) itu pesuruh Allah sehingga mereka yakin dan tanpa paksaan mereka mengucap syahadah. Inilah dakwah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad(saw) dan para sahabat sebelum datang perintah solat.





SETIAP INSAN YANG LAHIR, UNTUK KEPADA ISLAM KAFFAH/KESELURUHAN, WAJIB BERSYAHADAH TIDAK KIRA DIA LAHIR DALAM KELUARGA YANG MEMANG BAPANYA DAN IBU ISLAM ATAU BUKAN ISLAM.  UNTUK DIRINYA SENDIRI DAN APABILA IA MENERIMA JANJI IA PULA MENJADI SAKSI PADA YANG LAIN.



a.AL-BAQARAH 208="Wahai orang orang yg beriman! masuklah Islam keseluruhan,dan janganlah kamu ikuti langkah langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagimu."


b. AL-MARYAM AYT.87."Mereka tidak berhak mendapat syafaat, kecuali orang orang yang telah mengadakan perjanjian disisi Tuhan.


c. AL-BAQARAH.AYAT 132."Dan Ibrahim mewasiatkan ucapan itu kepada anak anaknya, demikian pula Yaakub,"wahai anak anakku! sesungguhnya Allah telah memilih agama ini untukmu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim,"



d. AL-BAQARAH AYT.254. "Wahai orang orang yang beriman! sebarkanlah apa yang telah kami berikan kepada kamu,sebelum tibanya hari(kiamat) yang tidak ada JUALBELI padanya ,dan tidak ada kawan TEMAN,serta tidak ada pula pertolongan SYAFAAT.Dan orang orang kafir, mereka itulah orang orang yang zalim.(lihat pada surah maryam 87 diatas(b)



e.AL-FATH AYT.10. "Bahawasanya orang orang yang berjanji setia kepada kamu sesungguhnya mereka berjanji setis kepada Allah.Tangan Allah diatas tangan mereka,maka barangsiapa yang melanggar janjinya itu akan menimpa dirinya sendiri dan barangsiapa yang menepati janjinya kepada Allah maka Allah akan memberinya pahala yang besar."




f.AL-MAIDAH AYT.11." Adapun orang orang yang kafir dan mendustakan ayat ayat kami,mereka itulah penghuni neraka"




MEREKA YANG TELAH MENUNAIKAN SYRIAT INI(BAI'ATH),MAKA TERLAKSANALAH IA SEBAGAI ISLAM KESELURUHAN,  DAN LAKUKANLAH RUKUN RUKUN YANG LAINNYA SEPERTIMANA YANG TELAH DIKERJAKAN SEBAGAI ISLAM,  DAN JADILAH PEMELUK UGAMA ISLAM KESELURUHAN/KAFFAH.JANGANLAH MENGATAKAN SYARIAT(BAI'ATH)INI HANYA DILAKUKAN OLEH ORANG ORANG DAHULU SAHAJA.  ITU SUDAH MENDUSTAKAN AYAT2 ALLAH YANG DIATAS DAN LAIN LAIN LAGI.





Seruan dari hati  ini,
Kembara Samudera Qaseh

Thursday, 28 October 2010

Patuh dan Tunduk Hanya Kerana Allah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Hakikat Ibadah


Ibadah bererti, patuh dan tunduk yang mutlak serta penyembahan yang menyeluruh kepada yang disembah (ma'bud).



Ibadah dalam Islam bererti: kepatuhan yang mutlak kepada Allah s.w.t. semata-mata, tanpa mempersekutukan Allah s.w.t. dalam penyembahan dan ibadah kepada-Nya.



Dari makna yang ringkas tentang ibadah tersebut, dapatlah kita pastikan bahawa, ibadah dalam erti kata lain ialah, penyembahan dan kepatuhan mutlak kepada Allah s.w.t.. Namun, intipati utama yang menyebabkan Allah s.w.t. menerima ibadah kita ialah: "ikhlas".



Hakikat Ikhlas


Para ulama' banyak membincangkan tentang pengertian ikhlas, dalam karangan-karangan mahupun ucapan-ucapan mereka. Cukuplah kita pilih pengertian ikhlas yang ringkas agar memudahkan kita yang didalam golongan awam memahaminya.



Ikhlas ialah, mengharapkan semata-mata Allah s.w.t. dan keredhaanNya, dalam segenap ibadah kita. Dalam erti kata yang lebih jelas, ikhlas bererti, kita beramal ibadah dan memenuhi segala tuntutan Allah s.w.t. demi mengharapkan keredhaan-Nya.



Hal ini sangat jelas, umpama seorang hamba kepada seorang tuan. Si hamba tersebut sudah tentu memenuhi segala perintah tuannya untuk meraih keredhaan dan kasih sayang tuannya. Apatah lagi, kita semua adalah hamba-hamba Allah s.w.t., yang hidup di dunia ini hasil dari ciptaan Allah s.w.t. serta rahmat dan nikmat dari-Nya. Tidakkah kita lebih utama mematuhi segenap perintah Allah s.w.t. dan menjauhi segala larangan-Nya demi semata-mata mengharapkan redha Allah s.w.t. yang telah menciptakan kita dengan rahmat dan kemurahan-Nya?



Nah, itulah erti ikhlas dalam ibadah, di mana ibadah seseorang tidak akan diterima oleh Allah s.w.t. melainkan dengannya (ikhlas tersebut).



Sebahagian para ulama' membahagikan ikhlas dengan beberapa darjat, berdasarkan ijtihad dari kefahaman mereka terhadap Al-Qur'an dan As-Sunnah. Kita pilih pembahagian kebanyakkan ulama' Islam iaitu (seperti dalam kitab jauharatu at-Tauhid):



Peringkat ikhlas yang paling tinggi: Beribadah semata-mata mengharapkan Allah s.w.t. dan keredhaan-Nya. Tiada terlintas dihatinya beribadah kerana nikmat syurga, takutkan azab neraka, dan sebagainya. Inilah darjat ikhlas yang paling sempurna.



Peringkat ikhlas yang kedua: Beribadah kepada Allah s.w.t. sambil mengharapkan nikmat syurga dari Allah s.w.t. atau takutkan siksa Allah s.w.t.



Peringkat ikhlas yang ketiga (paling rendah): beribadah kepada Allah s.w.t. untuk mendapatkan rahmat dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.



Adapun ikhlas yang paling sempurna dalam ibadah kepada Allah s.w.t. ialah, "beribadah semata-mata mengharapkan keredhaan dan kasih sayang Allah s.w.t. tanpa mengharapkan kenikmatan syurga daripada ibadah tersebut".



Hanya orang yang jahil sahaja yang mempersoalkan, mengapa ada peringkat-peringkat dalam ikhlas?



Adakah sama di sisi Allah s.w.t., antara orang yang beribadah kepada Allah s.w.t. semata-mata ingin meraih cinta Allah s.w.t. tanpa sedikitpun menginginkan sebarang kenikmatan syurga dari ibadah tersebut, dengan orang-orang yang beribadah kepada Allah s.w.t. hanya kerana kemaslahatan diri mereka, iaitu untuk kenikmatan syurga?



Sudah tentu berbeza antara orang yang beribadah kerana cintakan Allah s.w.t. dan mengharap balasan cinta dari Allah s.w.t. dengan orang yang beribadah kerana mahukan ganjaran-ganjaran dari Allah s.w.t. Hal ini sangat jelas menurut akal mahupun naql (nash-nash dari Al-Qur'an dan As-Sunnah).



Bukankah kita sudah ketahui bahawa, di kalangan hamba-hamba Allah s.w.t. itu sendiri, darjat antara satu sama lain di sisi Allah s.w.t. berbeza? Bukankah setiap mu'min itu muslim, dan bukan setiap muslim itu mu'min. Nah, jelaslah ada darjat-darjat antara hamba-hamba Allah s.w.t. di sisi Allah s.w.t. sesuai dengan niat dan ibadahnya. Jadi, mengapa pula tiada perbezaan antara orang beribadah hanya yang mengharapkan cinta Allah s.w.t. dengan orang yang mengharapkan ganjaran Allah s.w.t. dari amalan mereka?



Konsep "beribadah hanya semata-mata mengharapkan Allah s.w.t. tanpa mengharapkan nikmat syurga dari ibadah tersebut", Menurut Al-Qur'an dan As-Sunnah.



Allah s.w.t berfirman dalam Al-Qur'an: "Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesuatupun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (Surah Al-Kahfi: 110)



Di sini, Allah s.w.t. menjelaskan sifat sebenar orang-orang yang mengharapkan pertemuan dengan Allah s.w.t., iaitu, tidak mempersekutukan sesuatupun dalam ibadah dan penyembahannya kepada Allah s.w.t. dengan sesuatu yang lain, dalam tujuan beribadah tersebut. Bukankah mengharapkan syurga Allah s.w.t. dalam ibadah merupakan salah satu bentuk penyembahan kepada Allah s.w.t. dengan mengharapkan sesuatu selain Allah s.w.t., (walaupun bentuk tersebut tidak tercela menurut ulama' aqidah Islam, tetapi ianya tetap merupakan simbol ibadah yang tidak sempurna).



Di ayat tersebut juga menunjukkan sifat seseorang yang beriman kepada Allah s.w.t. dan mengesakan Allah s.w.t. dalam ibadahnya kepada-Nya, iaitu, "mengharapkan pertemuan dengan Allah s.w.t."



Apakah yang dapat difahami dari seseorang hamba yang mengharapkan pertemuan dengan Allah s.w.t., yang menjadi sifat sempurna orang yang beriman? Kalaulah seseorang itu beribadah semata-mata mengharapkan syurga Allah s.w.t., adakah setelah kematian nanti, dia mengharapkan pertemuan dengan Allah s.w.t. ataupun mengharap pertemuan dengan syurga Allah s.w.t.? Ingatlah bahawa, kenikmatan orang-orang yang ingin bertemu dengan Allah s.w.t. ialah sewaktu melihat Allah s.w.t. setelah dimasukkan ke dalam syurga Allah s.w.t (seperti yang diceritakan dalam Sahih Al-Bukhari), bukan terhenti setakat mengharapkan syurga Allah s.w.t. semata-mata.



Maka, ada dua petunjuk dari ayat tersebut menunjukkan bahawa, seorang hamba yang sejati ialah, yang mengharapkan Allah s.w.t. semata-mata dalam ibadah mereka, yang lahir daripada itu, kerinduan untuk bertemu dengan Kekasih-nya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Kita juga sering mengungkapkan suatu ayat Al-Qur'an yang masyhur di awal setiap solat kita iaitu: "Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah s.w.t."



Nah, kalaulah kita perlu beribadah untuk syurga Allah s.w.t., mengapa Tuhan s.w.t. tidak mengajarkan kepada kita lafaz "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku kerana (untuk) mendapat nikmat syurga Allah s.w.t. atau untuk menjauhi neraka Allah s.w.t.?



Tuhan s.w.t. tidak pernah menyuruh kita untuk beribadah untuk mengharapkan ganjaran dan kepentingan selain dari mengharapkan keredhaan Allah s.w.t..



Terlalu banyak lagi ayat-ayat Al-Qur'an yang menegaskan tentang, tujuan kita beribadah semata-mata mengharapkan redha Allah s.w.t., bukan mengharapkan ganjaran-ganjaran yang bakal diberikan kepada para hamba-Nya yang taat, dari ibadah tersebut. Di kesempatan yang ringkas ini, cukuplah sekadar ayat-ayat yang telah kita nukilkan, menunjukkan niat dan tujuan kita beribadah hanyalah semata-mata kerana Allah s.w.t., bukan kerana syurga atau neraka.



Rasulullah s.a.w. pula pernah bersabda dalam suatu hadis sahih: Sesungguhnya, amal perbuatan bersesuaian dengan niat. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, maka hijrahnya untuk Allah s.w.t. dan Rasul-Nya..." (Hadis Sahih).



Petunjuk yang dapat difahami dari hadis tersebut ialah, tentang niat kita dalam sesuatu amalan. Maka, Rasulullah s.a.w. memberi contoh hijrah dalam menjelaskan maksud utama sabda Baginda s.a.w. Maka, Baginda s.a.w. menjelaskan bahawa, barangsiapa yang berhijrah bertujuan kerana Allah s.w.t. dan mengikuti perintah Rasul-Nya (s.a.w.), maka hijrahnya sesuai dengan apa yang diingininya dan diterima Allah s.w.t. Hadis ini jelas menunjukkan bahawa, tujuan amal ibadah kita ialah kerana mengharapkan redha Allah s.w.t., bukan untuk mengharapkan nikmat syurga.



Banyak juga hadis-hadis lain yang menceritakan bahawa, TUJUAN BERIBADAH hanyalah kerana Allah s.w.t. semata-mata. Namun, tidak cukupkah satu hadis yang sahih lagi masyhur dan jelas, untuk menunjukkan kepada kita bahawa, Rasulullah s.a.w. turut mengingatkan kita supaya beribadah semata-mata kerana Allah s.w.t. dan sebagai simbol kepatuhan kita kepada Rasulullah s.w.t., yang menjadi tanda kecintaan kita kepada Allah s.w.t.





Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.



Wednesday, 25 August 2010

Beza Muslim, kafir di sisi Allah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




ALLAH mengasihi Muslim dan membenci kepada orang kafir. Setiap Muslim percaya kedudukannya lebih tinggi daripada orang kafir.




Muslim akan mendapat keselamatan daripada Allah, sedangkan orang kafir tidak. Muslim akan masuk ke syurga, manakala orang kafir ke neraka.

 

Ini memberikan suatu gambaran antara Muslim dan orang kafir tidak sama, bahkan ada perbezaan yang besar. Mengapa?


Sepintas lalu, Muslim mahupun bukan Muslim, semuanya daripada satu keturunan - Nabi Adam a.s dan semuanya dikurniakan pancaindera yang sama seperti tangan, kaki, mata dan telinga.


Mereka juga makan dari sumber yang sama, bahkan di negara kita, makanan terjamin halalnya.


Menarik nafas daripada udara yang sama, bahkan menikmati kehidupan di tanah air dan hasil bumi yang sama.


Allah yang menciptakan kita orang Islam adalah Pencipta orang bukan Islam juga, jadi kenapa ada perbezaan di antara kita orang Islam dan orang bukan Islam?


Mengapa pula kita semua kelak akan masuk ke syurga, sedangkan mereka ke neraka?


Tidak mungkin perbezaan itu hanya kerana berbezanya sepatah dua nama dengan seorang bernama Abdullah, manakala seorang lagi bernama John.


Mustahil juga hanya disebabkan seorang Muslim tidak memakan babi, manakala orang kafir memakannya atau seorang Muslim berkhatan dan rakannya yang bukan Muslim tidak berkhatan?


Apakah dengan perkara itu mengakibatkan kedudukan orang kafir di sisi Allah adalah rendah, dibenci dan dihumban ke neraka kemudian nanti sedangkan orang Islam ke syurga?


Tentu sebab perbezaan di atas tidak cukup kuat. Ini kerana ada juga orang bukan Islam turut berkhatan, tidak makan babi, tidak minum minuman keras, tidak berjudi dan tidak menganiayai orang.


Di mana perbezaan besar itu?

Sebenarnya Muslim dan bukan Muslim atau kafir adalah dua subjek yang memberikan pengertian, watak dan cara berlainan. Di sinilah perbezaannya.


Islam bererti kepatuhan kepada Allah sedangkan kafir atau kufur ialah keingkaran terhadap Allah.


Memanglah Muslim dan kafir sama-sama manusia dan hamba Allah, tetapi Muslim diberikan kedudukan mulia kerana mengakui Allah, sedangkan orang kafir tidak mengakui-Nya lalu kedudukannya rendah.


Allah lebih menyayangi Muslim kerana mematuhi perintah-Nya, sedangkan orang kafir dibenci kerana tidak mengakui-Nya dan mengingkari perintah-Nya, bahkan langsung tidak kenal Allah.


Oleh kerana itu, Allah menjanjikan syurga kepada orang Islam, manakala orang kafir dijanjikan neraka. Adil bukan?


Dari perbincangan di atas, nyata juga kepada kita dua aspek yang membawa perbezaan di antara seorang Muslim dan seorang kafir iaitu aspek pengetahuan dan perbuatan.


Pengetahuan yang dimaksudkan seorang Muslim itu tahu Tuhannya, tahu perintah Tuhannya dan cara untuk melaksanakannya serta mengetahui perbuatan disukai dan dibenci Tuhan.


Apabila sudah tahu, dia harus bertindak menjadikan dirinya sebagai hamba Tuhan. Sebagai hamba kemahuan sendiri sekiranya bertentangan dengan kehendak Tuhan seharusnya diabaikan.


Orang kafir, tiada pengetahuan ini. Malah, segelintir yang mengetahuinya buat-buat tidak tahu, sengaja memekakkan telinga, membutakan mata dan membisukan mulut daripada mengakui Allah adalah Tuhan.


Justeru, mereka dimasukkan dalam golongan membangkang dan ingkar, tidak mendapat limpahan rahmat daripada-Nya.


Sekarang, seandainya ada orang menyatakan dirinya Muslim, tetapi sama jahil seperti seorang kafir mengenai Islam dan turut sama membangkang, dapatkah kita katakan kedudukannya lebih tinggi daripada orang kafir?


Apa pula alasannya mengatakan dia berhak memperoleh rahmat Allah di dunia dan akhirat?

Kita bangga kerana semakin ramai Muslim, sama ada Islam warisan atau pemelukan baru, tetapi apabila sudah ramai, bertengkar pula sesama sendiri. Kualiti pula belum boleh dikatakan cemerlang.

Islam bukanlah bersifat kesukuan, kekeluargaan dan persaudaraan yang langsung diwariskan orang tua kepada anak dan daripada anak kepada cucu-cicit.

Kedudukan sebagai Muslim tidak diperoleh kerana keturunan sebagaimana halnya kasta, di mana anak seorang Brahman akan tetap memperoleh kedudukan tinggi walaupun bodoh dan jahat perangainya kerana dia memang lahir dalam keluarga berkedudukan tinggi.



Sementara anak daripada orang tua berkasta rendah akan tetap berkedudukan rendah kerana memang dia lahir dalam keluarga yang hina.


Nabi Ibrahim a.s misalnya dilahirkan di tengah keluarga seorang penyembah berhala, tetapi baginda tidak menyembah sama, malah baginda menggunakan fikiranya untuk mengenali Allah dan mentaati perintah-Nya.


Sebaliknya putera Nabi Nuh a.s lahir dalam keluarga seorang nabi, tetapi tidak mengerti mengenai Allah dan tidak mentaati-Nya.


Allah menghukumnya sedemikian rupa tanpa mempedulikan keluarganya.


Apa pun perbezaan antara seorang dengan yang lain, baik pada kedudukannya, layanan dan akibatnya kemudian hari, dalam pandangan Allah hal itu berhubung erat dengan pengetahuan dan perbuatan.


Baik di dunia ini mahupun di akhirat nanti, rahmat Allah dilimpahkan kepada mereka yang mengerti Allah, tahu jalan yang benar ditunjukkan-Nya dan melaksanakan perintah-Nya.


"Sesungguhnya orang yang paling mulia di antaramu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu..." (Al-Quran, surah al-Hujurat: Ayat 13)


Ertinya, kedudukan sebenar bukanlah dinilai melalui keturunan dan suku kaum orang itu, tetapi keimanan dan ketakwaannya.


Semakin banyak pengetahuan mengenai Allah, semakin taat kepada perintah-Nya, akan semakin tinggi pulalah kedudukan pada mata Allah.




Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.



Sunday, 20 June 2010

Banyak dalam SATU dalam banyak

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Jika anda melihat tulisan,apakah sebenarnya yang anda nampak ? Tulisan, perkataan atau dakwat ? Begitu juga anda ada kaki,tangan,hidung , mata, telinga tetapi pada hakikatnya hanya satu iaitu diri anda sendiri. Kadang-kadang ada bayang-bayang mengikuti anda semasa cuaca panas ,  begitu juga anda mungkin bermimpi melihat diri anda sendiri. Walaupun nampak banyak,ianya cuma satu sahaja ; yaitu anda.



Begitu juga air yang membentuk ais atau membentuk ombak.Ia membentuk menjadi bentuk lain apabila sampai pada sesuatu peringkat atau keadaan. Apabila buih berpecah,ia kembali kepada keadaan asalnya. Buih atau ais pada hakikatnya itu adalah air juga. Apabila anda perhatikan ombak, anda tidak nampak air. Ombak adalah bentuk hayalan, hakikatnya adalah air.

Seorang penyair Farsi pernah berkata :
“Aku pergi bersiar-siar di tepi laut dan aku terpandang perkara yang menakjubkan;
kapal dalam laut, laut dalam kapal “

Penyair ini menisbahkan bahawa wujud Allah Ta’ala itu tiada terhad yang diibaratkan seperti laut, manakala kapal itu pula sebagai kewujudan yang terhad.

Allah Ta’ala berfirman :

“ ingatlah bahwa sesungguhnya Dia meliputi segala sesuatu “. Surah Fussilat : 54

Begitu juga diterangkan dalam maksud ayat ini :

“ dua ujung busur panah “ Surah An Najm : 9.

Tempat pertemuan dua busur panah yakni baur panah itu bila ditarik ia bercantum ;
nampak seperti dua tetapi sebenarnya hanya satu.

Syeikh Mahmud Syabistari dalam Gulsyan-i-Raj menyebut,

"Jika anda belah hati satu titik air , Anda dapati seratus lautan di dalamnya"

Inilah hakiqat ainul yaqin dan haqqul yaqin, jika dibelah satu hakikat, semua ilmu ada di dalamnya. Namun hakikat tidak muncul , jikalau syariat dan toriqat tidak betul lagi kedudukannya.


Dialah yang Awal dan yang Akhir yang Zahir dan yang Batin “ Surah Al-Hadid : 3


Apabila tajalli bersinar pada gunung,
Gunung itu hancur dan berkecai seperti kapas,
Apabila tajalli bersinar pada gunung wujud,
Wujud itu bertaburan seperi habuk di atas jalan.

Ini dimaksudkan sebagai wujud salik bertukar kepada tidak wujud,seperti Gunung Sinai yang tidak lagi berupa seperti rupanya dulu.Apabila Nabi Musa mohon melihat Allah, Baginda disuruh melihat gunung lalu gunung itu hancur. Seperti gunung itu juga, Nabi Musa tidak dapat menahan tajalli itu lalu jatuh pengsan ( fana’ ).

Apabila Allah hendak memandang diriNya, maka dipandang pada hati manusia yang diibaratkan seperti cermin.Dia menzahirkan diriNya ( tajalli ) pada cermin (hati ) yang cerah itu.Semakin bersih hati itu, semakin cerahlah bayangan Allah adanya.Bayangan itu adalah satu nama sahaja bukan hulul ataupun penjelmaan.Banyak wajah yang terlihat adalah kerana banyaknya cermin walhal hakikatnya ia tetap satu dan sama sahaja.

Pandangan boleh tembus dalam air tetapi tidak apabila ia menebal menjadi ais.Begitulah terjadi kepada sifat hati yang cerah , yang bersih dengan yang berbintik hitam dan gelap zulmah.

Konsep inilah yang selalu diperkatakan dikalangan mereka yang belajar ilmu hakikat.Ia sekadar menjadi ilmu atau pegangan atau di anggap ilmu yang mendalam tetapi ia tidak menjadi amali dan tidak sampai ke mana jikalau tidak menuruti langkah awalnya iaitu beramal sepertimana Nabi S.A.W beramal bagi mencapai matlamat yang demikian.Bukan setakat menjadi thalib, tetapi melangkah setapak lagi menjadi salik.


Hakikat huruf ' alif ' dan seterusnya ialah noktah, hakikat noktah ialah dakwat ( cecair ), hakikat cecair dari debuan..jika kita melihat dakwat, huruf hilang..dan jika kita melihat huruf, dakwatnya pula hilang...

Oleh kerana itu, pada dasarnya dalam pandangan Ilmu Tesawuf, tidak ada bezanya antara Syariat dan Hakikat atau antara Zahir dan Batin. Kalau perbezaan itu ada, maka adanya itu hanya pada lafadz yg berlainan, tetapi yg satu menyempurnakan yg lain..ibarat Syariat itu pohon dan Hakikat itu buahnya..

Akan tetapi satu syarat adalah mutlaq utk menilai kebenaran mahupun kedustaannya, iaitu harus jgn ada satupun perbuatan mahupun perkataan yg keluar dan menyalahi zahir syariat Islam..

" Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah pada jalanNya supaya kamu mendapatkan keberuntungan " ( Q.S. Al Maidah : 35 )..

"Dan ikutilah orang-orang yang tiada minta balasan kepadamu; dan mereka adalah ' muhtaduun ' (orang yang tetap diatas petunjuk)" ( Q.S. Yaasiin : 21 ).

Mudahan pengertian perjalanan keruhanian menuju lautan cinta dan kasih sayang Allah, yg di paparkan semua kita di sini dapat menyatukan walaupun berbeza tetapi dalam satu kesamaan ( Tauhid )..Kaannahum bunyanun marshush...wallahu'alam..











Aku hidup dalam kenangan ,
Imbauan rindu sering bertandang ,
Sumber kekuatan di akan datang.


Monday, 14 June 2010

Siapa Allah di Hati Kita?


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 

Bila soalan ini ditujukan kepada kita, apa yang mampu kita jawab? Adakah ALLAH dekat dan rapat dengan kita? Adakah kita sentiasa bergantung harap dan mengingatiNYA setiap masa?


Untuk menjawab soalan ini, kita seharusnya bertanya kepada diri kita terlebih dahulu ‘SIAPA KITA?’. Siapa kita sebenarnya? Siapa kita di sisi ALLAH, Khaliq kita? Adakah kita sangat bagus di pandangan ALLAH? Siapa kita? Seorang anak? Seorang pelajar? Seorang guru? Seorang peguam? Seorang petani? Seorang doctor?




Jawapan yang paling tepat ialah kita sebenarnya HAMBA ALLAH...


Hamba Allah yang telah diberikan kesempatan hidup untuk menikmati kehidupan yang sementara di dunia fana ini. Oleh kerana itu, kita sebagai hambaNYA semestinya perlu melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala laranganNYA. Sebagai seorang hamba juga, kita mesti patuh, taat dan setia kepada pencipta iaitu ALLAH. Sesungguhnya Allah telah berkata di dalam kitabNYA (AL-QUR’AN) :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
(الذاريات : 56)

Bermaksud:
"Dan tidak AKU jadikan Jin dan Manusia itu melainkan untuk beribadat kepadaku."


Tidak lain dan tidak bukan, ALLAH telah menciptakan kita semata-mata untuk beribadat kepadaNYA, bukan untuk melupakanNYA atau hanya berharap dan memohon pertolongan di kala kesusahan sahaja.


Seterusnya, tanya soalan ini kepada kita : Di mana kita di hadapan ALLAH?


Di manakah sebenarnya kita di hadapan ALLAH? Apakah nilai kita di sisi ALLAH? Kita dapat memperolehi jawapannya jika kita menilai kembali nilai usaha kita untuk mendekatkan diri kepada Allah. Adakah kita sentiasa mendekatkan diri, akrab, rapat dengan ALLAH?


Sejauh manakah usaha kita untuk mengenali Pencipta kita? Solat lima waktu yang telah difardhukan, adakah kita telah berjaya sempurnakannya? Atau, adakah kita lewat dalam melaksanakan segala perintah ALLAH? Solat-solat sunat bagaimana pula?


Dan seharusnya perlu diingat, untuk dekat dengan ALLAH, kita semestinya terlebih dahulu perlu memulakannya. Ini kerana Allah lebih mengasihi hamba-hambaNYA yang memohon do’a dan pertolongan dengan hati yang ikhlas dan penuh mengharap. Sepertimana yang telah termaktub di dalam Al-Qur’anul Karim :

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُواْ لِي وَلاَ تَكْفُرُونِ
(البقرة : 152)


Bermaksud:
"Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)."


Sebagai seorang hamba, sesungguhnya ALLAH telah menciptakan kita dengan sebaik-baik kejadian. Ini kerana, badan kita terdiri daripada 4 komponen asas iaitu :

1) Jasad
2) Roh
3) ‘Aqal
4) Nafsu


Kesemua komponen ini saling memerlukan dan saling melengkapi. Jika tiada salah satu di antaranya, maka akan rosaklah seorang insan itu.


Makanan Roh adalah Ibadat.
Makanan ‘Aqal adalah ‘Ilmu
Makanan jasad…anda semua pasti tahu.


Nafsu pula berkait dengan jasad. Jika makanan jasad baik,maka akan baiklah nafsu itu. Disebabkan itulah kita sentiasa diingatkan untuk makan makanan yang halal dan tidak makan terlalu banyak.

Misi hidup kita:

1) Beribadah kepada Allah.
2) Menjadi khalifah


وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُواْ أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاء وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُونَ
(البقرة :30)


Bermaksud:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".


Destinasi hidup kita:
SYURGA atau NERAKA??

Semoga kita beroleh manfaat daripada artikel ini insya Allah..
Wassalam




Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.





Sunday, 13 June 2010

"Di mana Allah?"


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Bagaimana jika kita soalannya begini "apakah persoalan 'di mana Allah' itu termasuk dalam perkara cabang? Dan bagaimana pula dengan aqidah kebanyakan(orang awam) yang tidak langsung mengetahui mengenai perkara ini(samada persoalan Allah itu ada di mana mana / Allah bersemayam diarash)?



Apakah jawapan yang kita, bagi menjawapnya?









Dari Laman Ilmu dan Ulamak Blogspot, ummi temui jawapan ini.


Perkara tentang Allah tidak harus sesiapa pun memandai-mandai tentangnya. Jawapan yang soheh bagi segala persoalan tentang Allah ialah yang terbit dari al-Quran dan al-Hadith. Termasuklah persoalan "Di mana Allah?".


Kita tidak boleh menjawab dengan hanya logik akal, sebaliknya hendaklah menjawab dengan jawapan yang diberikan al-Quran dan Hadith. Persoalan "Di mana Allah?" bukan persoalan cabang kerana ia disentuh oleh banyak ayat al-Quran dan Hadith Nabi s.a.w...


Kerana itu persoalan tersebut wajib dipelajari oleh umat Islam dengan mengetahui jawapannya dari penjelasan al-Quran dan as-Sunnah, bukan penjelasan ahli falsafah atau ahli kalam kerana aqidah Islam terasnya adalah wahyu, bukan akal atau ramalan atau rasa hati.


Wallahu a'lam. 


Jawapan yang ummi temui di Laman Mufti Melaka :


Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah. Salawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W.




Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:
"Sesungguhnya Tuhan kamu itu Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, kemudian ia istiwaa (bersemayam) di atas 'Arsy".(Al-A'raf :54).


Rasulullah SAW pernah mengajukan pertanyaan kepada seorang budak perempuan milik Mua'wiyah bin Al-Hakam As-Sulamy sebagai ujian keimanan sebelum ia dimerdekakan oleh tuannya yaitu Mu'awiyah ;  Artinya:

"Beliau bertanya kepadanya : "Di manakah Allah ?. Jawab budak perempuan : "Di atas langit. Beliau bertanya (lagi) : "Siapakah Aku ..?". Jawab budak itu : "Engkau adalah Rasulullah". Beliau bersabda : "Merdekakan ia ! .. karena sesungguhnya ia mu'minah (seorang perempuan yang beriman)".
 

Beriman kepada Allah Ta'ala adalah satu daripada rukun iman yang enam yang wajib tetap dalam hati seseorang tanpa becampur syak dan keraguan.Beriman dengan kewujudan Allah Ta'ala ialah dengan mengiktiqadkan Allah dengan iktiqad (pegangan) yang jazam (pasti dan tetap) bahawa Allah Ta'ala yang mencipta dan mentadbir semua benda dan perkara dalam alam ini (rububiyyah), Dialah yang berhak disembah (uluhiyyah), Dia memiliki nama-nama yang agung (asma' al-Jalal)dan mempunyai segala sifat kesempurnaan (sifat al-Kamal) dan Maha Suci dari sifat-sifat kekurangan (Asma' Allah dan sifat-sifatnya).



Kewujudan Allah Ta'ala bukanlah sebagaimana kewujudan alam yang huduth (baharu) yang menerima perubahan, permulaan dan kesudahan, kerana zat dan sifat Allah adalah qadim (tiada permulaan) dan baqa' (tiada kesudahan).


Bagi menjawab persoalan di mana Allah Ta'ala, berbalik kepada dalil al-Qur'an dan Hadith di atas dapatlah dinyatakan bahawa Allah Ta'ala istawaa di atas 'arasy-Nya yang tinggi (Dzat Allah istiwaa/bersemayam di atas 'Arsy-Nya yang sesuai dengan kebesaran-Nya, sedangkan ilmu-Nya berada dimana-mana/tiap-tiap tempat tidak satu pun tersembunyi dari pengetahuan-Nya). Imam Malik apabila ditanya "Bagaimana caranya Allah istiwaa di atas 'Arsy ?. Beliau menjawab :
 
Artinya:
"Istiwaa itu bukanlah sesuatu yang tidak dikenal (yakni telah kita ketahui artinya), tetapi bagaimana caranya (Allah istiwaa) tidaklah dapat dimengerti, sedang iman dengannya (bahwa Allah istiwaa) wajib, tetapi bertanya tentangnya (bagaimana caranya) adalah bid'ah".


Wallahu Tabaraka Wata'ala a'lam.




Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.


Saturday, 12 June 2010

Menangkis Bisikan Jahat


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Bisikan-bisikan yang masuk dalam hati kita tidaklah kita berdosa kerananya kerana ia di luar kehendak kita. Sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam-;  “Sesungguhnya Allah tidak mengambil kira dari umatku apa yang dibisikkan oleh dirinya selagi ia tidak menuturkannya atau tidak melakukannya”.  

(HR Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah  radhiyallahu ‘anhu-).




Dari hadith dapat kita fahami bahawa; suatu kejahatan yang dibisikkan oleh hati kita belumlah dikira dosa ke atas kita selagi kita tidak menzahirkannya sama ada dalam bentuk ucapan atau amalan/perbuatan.

Bisikan-bisikan jahat itu janganlah dihiraukan atau diambil peduli. Sabda Rasulullah; “Syaitan akan datang kepada salah seorang dari kamu dan bertanya kepadanya (untuk menimbulkan kesangsian); ‘Siapakah yang mencipta makhluk sekian dan sekian? Hingga akhirnya ia bertanya; ‘Siapa pula yang mencipta Tuhan kamu?’. Maka apabila sampai ke tahap itu, hendaklah ia memohon perlindungan Allah (dari bisikan Syaitan itu) dan hendaklah ia berhenti”. (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-).

Dalam hadis ini Rasulullah mengajar kita bagaimana menghadapi bisikan keraguan dari Syaitan khususnya yang menyentuh tentang zat Tuhan, iaitu dengan kita segera menohon perlindungan dari Allah dan berhenti dari melayani bisikan itu. Berkata Imam an-Nawawi; maksud ungkapan baginda “…hendaklah ia memohon perlindungan Allah (dari bisikan Syaitan itu) dan hendaklah ia berhenti…” ialah; “Apabila Syaitan membentangkan bisikan tersebut kepadanya, hendaklah ia segera berlindung kepada Allah untuk menangkis kejahatan Syaitan itu dan hendaklah ia berpaling dari memikirkan bisikan itu. Hendaklah ia menyedari bahawa itu adalah bisikan Syaitan dan Syaitan sentiasa mencari jalan untuk merosakkan manusia dan menyesatkannya. Maka hendaklah ia berpaling dari memberi perhatian kepada bisikan Syaitan itu dan segera memutuskannya dengan menyibukkan diri dengan perkara lain” (Imam an-Nawawi, Syarah Soheh Muslim, juz. 2, kitab al-Iman, bab Bayan al-Waswasah fi al-Iman wa ma yaquluhu man wajadaha).


Di antara doa yang amat baik untuk dibaca untuk memohon perlindungan dari Allah bagi diri –selain dari lafaz al-Isti’azah- ialah doa di akhir surah al-Baqarah;


رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْراً كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ


“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan ke atas Kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau pikulkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau bebani kami dengan apa yang Kami tidak terdaya menanggungnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penjaga kami, oleh itu, bantulah kami untuk mencapai kemenangan terhadap orang-orang kafir”. (Surah al-Baqarah, ayat 286).



Wallahu a’lam.



Rujukan;
1. Tafsir al-Quran al-Adziem, Imam Ibnu Kathir, surah al-Baqarah ayat 284.
2. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 2, kitab al-Iman.




Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.




Friday, 11 June 2010

Pentingnya Aqidah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Iman adalah harta yang sangat bernilai. Ia bukan sesuatu yang boleh diwarisi atau dijual beli. Ia adalah anugerah Allah yang patut disyukuri dan dipelihara.
 
Kerana itulah, Nabi Yaaqub alaihissalam sekalipun bernasabkan para Nabi dan memiliki keturunan juga di kalangan para Nabi cukup bimbang akan keselamatan akidah anak cucu baginda. Ini diceritakan di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 133 yang maksudnya:

(Demikianlah wasiat Nabi Yaaqub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi) Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaaqub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati? Mereka menjawab:Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishaq, iaitu Tuhan Maha Esa, dan kepada-Nyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman).

Kerana akidah juga, para Nabi dan rasul sanggup menerima apa jua rintangan dan bebanan demi memperjuangkannya. Dari Nabi Adam alaihissalam hinggalah kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam semuanya telah berusaha memelihara akidah umat mereka agar tidak terpesong ke jalan sesat. Penghijrahan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dari Mekah ke Madinah umpamanya bertujuan untuk membentuk umat Islam yang baru berpegang kepada ajaran agama Islam.

Kepentingan akidah dan perjuangan mempertahankannya ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dari Abu Hurairah radiallahu anhu yang bermaksud:Rasulullah sallallahu alaihi wasallam ditanya:Apakah amal yang paling utama? Rasulullah menjawab:Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Baginda ditanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab:Jihad fi sabilillah.

Akidah yang merupakan simpulan iman akan menyuntikkan semangat perjuangan, menyuburkan daya saing dan memupuk perpaduan di kalangan umat Islam. Ini kerana, iman yang tersimpul erat di dalam hati mendorong seseorang untuk berusaha, bekerja keras, melakukan kebajikan, membantu orang, membina kemajuan, menunaikan tanggungjawab, sanggup berkorban dan sebagainya demi mengaut seberapa banyak pahala kebajikan.

Umat Islam yang tidak mempunyai akidah yang kukuh akan mudah terpesong dan menyeleweng dari ajaran agamanya yang sebenar. Bukan itu saja, ia akan menjadi anggota masyarakat yang tamak kerana cintakan dunia, pengecut kerana takutkan manusia, liar kerana tiada pegangan, tidak jujur kerana tidak mengenal dosa dan membawa pelbagai lagi masalah dan kerosakan yang merugikan pelbagai pihak.

Begitu juga segala pembangunan dan kemajuan yang dibina oleh umat Islam, jika tidak didasari oleh kekukuhan akidah, ia hanya akan membawa kepada pelbagai kekalutan di tengah-tengah masyarakat. Ini kerana, akidah adalah asas kepada kesejahteraan dan petunjuk dari Allah.

Ini dijelaskan dalam fiman Allah subhanahu wataala dalam surah al-Anaam ayat 82 yang tafsirnya:Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah dan petunjuk.

Akidah juga adalah tunjang segala amalan dan benteng pertahanan yang kukuh daripada segala perkara yang merosakkan. Jika akidah seseorang itu tidak betul, maka segala amalan yang dilakukannya menjadi sia-sia belaka, manakala di akhirat pula akan dimasukkan ke dalam api neraka.

Firman Allah subhanahu wataala dalam surah al-Anbiyaa ayat 94 yang tafsirnya: Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya; dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya.

Namun kepentingan akidah kurang diambil perhatian oleh sebilangan umat Islam masa kini. Mereka lebih bimbangkan nasib anak bangsa dan anak cucu mereka akan menjadi miskin harta dan tanah setelah mereka tiada nanti.

Tetapi adakah ramai dari kalangan umat Islam yang bimbangkan nasib anak cucu mereka jika mereka miskin iman dan jiwa? Kita yang berada di akhir zaman ini, sepatutnya lebih bimbang lagi akan keutuhan akidah anak-anak kita. Kita patut insaf betapa pentingnya akidah dalam menentukan nasib dan maruah bangsa.

Sebagai umat Islam yang inginkan kesejahteraan hidup di dunia dan keselamatan di akhirat, kita hendaklah menjadi masyarakat Islam yang memelihara dan menegakkan akidah dan syariat Islam. Bagi memelihara dan memperkukuhkan akidah pula ia hendaklah dibina atas dasar iman yang kukuh, dibajai dengan ilmu dan amal serta dipelihara dari dicemari oleh sebarang serangan anasir dan gejala penyelewengan dan kesesatan.

Berdoalah di samping segala usaha yang lain dalam mempertahankan keutuhan akidah Islam. Sabda Nabi sallallahu alaihi wasallam daripada Ali radiallahu anhu yang bermaksud: Doa adalah senjata orang mukmin, tiang kepada agama dan cahaya kepada langit dan bumi.(Riwayat al-Imam al-Hakim).




Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.



Friday, 4 June 2010

Umpama Permata

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Tafsir Surah Al-Baqarah ayat 255 maksudnya:

"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang tetap hidup yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekelian makhluknya) yang tidak mengantuk usahkan tidur, yang memiliki segala yang ada dilangit dan yang ada di bumi. Tiada siapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) disisinya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya), Luasnya kursi Allah (ilmunya dan kekuasaannya) meliputi langit dan bumi, dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah (Yang Maha Tinggi) darjat kemuliannya, lagi Maha Besar (Kekuasaannya)".

Soal Aqidah atau kepercayaan adalah perkara yang paling pokok dalam ajaran Islam. Aqidah atau kepercayaan yang mengikat hati dan menambah keyakinan seseorang kepada Agama Islam berpangkal dari tauhid atau keesaan terhadap Allah yang Maha Kuasa yyang mencipta dan mengatur serta memiliki alam ini.

Persoalan aqidah ini merupakan satu persoalan yang amat penting dan bernilai.Walau bagaimanapun perkara ini menjadi penting stsu bernilai bergantung kepada individu tersebut menilainya. Contohnya sebentuk cincin permata yang bertahtakan berlian amat bernilai bagi seorang gadis yang sempurna kejadiannya tetapi cincin ini tiada nilainya kepada sikudung. Begitu juga dengan sekuntum bunga, amat bernilai bagi pasangan bercinta tetapi sektuntum bunga ini tiada nilainya bagi seekor beruk, bukan sekadar tidak tau menilai malah dirosakkannya.

Aqidah Islam merupakan sumber bagi segala peraturan dan tata hidup syariat dan akhlak Islam yang meliputi seluruh bidang kehidupan. Aqidah merupakan akar tunjang yang mengukuhkan pendirian Islam di dalam diri seseorang dan juga ibarat tapak dan asas yang kuat bagi membangun kehiidupan Islam dalam masyarakat umat manusia. Kesimpulannya Aqidah tauhid ini adalah satu perkara yang amat bernilai dan berharga yang perlu dipertahan dan dipelihara. Di antara konsep tauhid yang ditegaskan di dalam ayat ini ialah:

a. Menolak atau menafikan konsep ketuhanan selain dari Allah.

b. Allah menguasai kerajaan langit dan bumi.

c. Ilmu Allah meliputi segalanya.

d. Allah memiliki segala kebesaran, kemuliaan dan kemegahan yang penuh dengan keadilan dan ramat.




Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.