BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Friday 23 July 2010

Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain?

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Mahu negara berubah, mahu orang berubah, bercita-cita mahu ubah pekerja, tetapi malangnya anak, adik beradik suami atau isteri masih tidak mampu diubah.



Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain?


Antara sebabnya, kita tidak pernah bersungguh-sungguh untuk mengubah diri sendiri. Rahsia mengubah orang adalah dengan mengubah diri sendiri.


Betapa besar pun hasrat untuk mengubah orang lain sekiranya kita tidak mula daripada diri sendiri tidak berkesan.


Kadangkala hasrat mengubah orang lain akan menjadi bahan ketawa. Orang di sekeliling akan menyaksikan cakap kita itu tidak serupa bikin dengan apa yang kita laungkan.(Diri sendirilah ni )


Elok juga difikirkan perbandingan ini, kalau hendak membina rumah apalah ertinya memikirkan dinding, pintu dan atap sekiranya tapak tidak dibina.


"Mulakan dengan dirimu," kata pepatah Arab. Inilah kunci orang yang berjaya. Berani mengejek itu mudah, berani berhujah itu mudah, tetapi tidak ramai orang yang berani melihat kekurangan diri sendiri. Ramai orang berani melihat kekurangan orang lain, tetapi jarang sekali membincangkan kelemahan diri sendiri.


Sebenarnya apabila kita mengubah diri dengan penuh sedar sudah pasti ia dapat mengubah orang lain. Walaupun tidak sepatah kata kita ucapkan untuk ubah orang lain, perbuatan yang berubah itu menjadi ucapan yang sangat bererti bagi orang lain.


Pengaruh daripada kegigihan mengubah diri tidak akan dirasakan. Tetapi percayalah ia akan membekas dalam minda orang lain. Makin lama orang akan simpati dan terdorong untuk turut sama berubah.



Lantas bagaimana kaedah mengubah diri dan orang lain?

Pertama: Mulalah dengan mengubah diri sendiri. Mana mungkin kita mahu mengajak orang berubah sedangkan diri kita masih di takuk lama. Jadilah seperti `ketam mengajar anak berjalan betul' nanti cakap tidak serupa bikin.



Kedua: Mulakan dengan melakukan perkara yang kecil. Perkara kecil jika dilazimi akan membantu dan memudahkan untuk melakukan yang besar. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Perkara yang kecil jika sering diabaikan nanti berjangkit, yang besar pun akan mudah diingkari. Banjir besar dimulakan dengan titik hujan yang kecil.


Ketiga: Mulakan sekarang. Jangan bertangguh lagi. Semakin bertangguh semakin melarat. Masalah yang kecil akan jadi lebih besar jika terus dibiarkan.


Keempat: Paksa diri dengan sepenuh hati. Nafsu jika tidak dipaksa nanti jadi degil.



Kelima: Belajar menghukum diri sendiri. Kalangan sahabat pernah menghukum diri dengan berpuasa kerana mengumpat.


Keenam: Kena ulangi kebaikan sehingga sebati dengan diri.


Ini adalah peringatan khas ditujukan untuk diri sendiri yang selalu lupa dan hanya pandai berkata-kata. Sebab itu, kenapa ummi tidak berjaya mengubah diri orang lain kerana diri sendiri pun masih ditakuk lama. Ya Allah permudahkan urusan diriku ini.





Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.




Thursday 22 July 2010

Bahagia itu Ada di mana-mana

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Orang kata, kalau ikut Islam boleh tenang, bahagia. Dan kita, hari-hari bersembahyang. Namun ketenangan dan kebahagiaan yang dicari-cari, tetap tak kunjung tiba. Mengapa???


Kiranya bahagia itu tidak dapat diukur dengan mata kasar, kerana pandangan mata selalunya menipu. Masakan melihat seorang wanita dengan lengan yang bersusun dengan gelang permata kita sudah boleh mengatakan dia bahagia...


Namun..... bahagia dapat dirasa di hati, boleh dikesan pada wajah. Sebaliknya jika tiada, hati boleh merasa dan tak mungkin ditipunya. Kadang-kadang, pada lahirnya sesebuah keluarga itu sudah nampak aman damai. Namun, hakikatnya hati para penghuninya masih tak bahagia. Mengapa? Rasa-rasa masih ada lagi yang kurang...


Ketenangan adalah anugerah Allah kepada hamba-hambaNYA yang beriman dan bertaqwa.
Mereka yang mendapat ketenangan seperti mendapat syurga yang disegerakan (Al-Jannatul Ajilah) sebelum mendapat syurga yang kekal abadi di akhirat. Mereka yang telah menikmatinya tidak akan terpengaruh dengan suasana untuk mendapat tenang dan bahagia.


Justeru setiap apa yang dilakukan di atas muka bumi ini, bukan untuk mengejar bahagia. Tapi atas rasa dirinya sebagai hamba yang perlu mentaati perintah dan menjauhi larangan Tuhan, demi mendapatkan keredhaanNYA. Dalam berseorangan pun mereka rasa bahagia, apatah lagi ketika ramai. Sewaktu susah dan kesempitan pun mereka rasa bahagia, apalagi di kala senang dan lapang. Keredhaan Allah cukup besar maknanya bagi mereka.


Namun, tidak semestinya pula mereka miskin, jika dalam kaya itu ada keredhaan Allah. Dan tidak semestinya mereka susah kalau dalam senang dan lapang itu terdapat kecintaanNYA. Islam adalah cara hidup mereka dan kebahagiaan mereka. Islam dijadikan pegangan bukan kerana mahukan kebahagiaan, sebagai kebebasan, untuk lari dari masalah. Kerana orang yang ikut Islam kerana hendakkan bahagia, bila gagal menemui ketenangan dan kebahagiaan setelah Islam diamalkan, tak mustahil mereka akan berpaling kepada cara hidup yang lain.


Sebab itu ada orang merasakan Islam ini adalah penjara kepada orang mukmin. Penjara adalah satu tempat kurungan,tidak boleh bebas berbuat sesuka hati,kena patuh pada peraturan,kena taat pada suruhan dan larangan. Maka bila kita redha Islam itu sebagai penjara,maka kita akan rasa lapang dada dan bahagia juga boleh dicapai di dalam keadaan mentaati larangan dan suruhan asalkan berbuat kerana yang menyediakan larangan dan suruhan itu.


Mereka yang bahagia dengan Islam adalah mereka yang mengatur seluruh aspek kehidupan secara Islam kerana merasakan dirinya adalah hamba yang perlu patuh pada PENCIPTANYA dan Islam itu tidak sekali-kali dijadikan sebagai alat untuk mendapatkan keindahan dan kebahagiaan sementara. Indahnya Islam bagi mereka kerana ia merupakan syariat Allah yang sangat syumul dan praktikal.


Bahkan untuk mendapatkan keredhaan Allah, ada antara mereka yang diuji dengan kehilangan orang yang tersayang dan kehilangan kebahagiaan dalam keluarga. Tetapi, mereka masih dapat merasa tenang kerana merasakan segala yang datang itu, hakikatnya adalah dari Allah jua. Sebagai hamba, tidak selayaknya dipersoalkan ketetapan Allah yang tentunya mempunyai maksud di sebaliknya.


Seperti Siti Asiah isteri Firaun, rela diseksa oleh suaminya lantaran mempertahankan iman yang berharga. Begitu pula Nasibah yang bersungguh-sungguh melepaskan suami dan anak-anaknya yang masih muda ke medan perang, dan Ummu Habibah, isteri baginda Rasulullah yang sanggup berpisah dengan bekas suaminya yang kembali kepada kekufuran, kerana mahu mempertahankan iman.


Kerana cinta dan redha Allah itu adalah segala-galanya, hingga berkata Rabiatul Adawiyah; "...Jika di dalam Neraka itu ada redha-MU, campakkanlah aku ke dalamnya."


Ketenangan akan datang dalam diri bilamana dapat dirasakan, segala yang datang itu hakikatnya dari Allah jua.


Wallahua'lam...




Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.



Sunday 11 July 2010

Hindarilah Akan Hasad Dengki

Hasad dengki ibarat kaktus berduri yang
kita letakkan bersama-sama dalam terarium.


Hasad dengki sebenarnya ialah penyakit hati dan maksiat batin yang terdapat pada manusia tanpa mengira bangsa dan keturunan. Perkataan hasad berasal daripada bahasa Arab iaitu al-hasad. Orang yang mempunyai sifat hasad ini mengharapkan sesuatu nikmat yang ada pada seseorang berpindah kepada dirinya.


Dalam bahasa Melayu, perkataan 'dengki' digandingkan dengan perkataan hasad bermaksud: "Kebencian (kemarahan) kerana perasaan cemburu atau iri hati yang amat sangat." Jadi, hasad dengki merupakan perasaan tidak senang hati dalam diri seseorang apabila melihat orang lain mendapat sesuatu kebaikan."


Dalam Kitab Ihya' 'Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali ada disimpulkan punca dan sebab timbulnya perasaan hasad dengki. Antaranya ialah:



1. Perasaan Permusuhan dan Kebencian

Perasaan inilah yang paling banyak menimbulkan kedengkian. Mereka yang disakiti oleh seseorang, pasti berasa marah lalu menimbulkan kebencian. Di sini akan tertanamlah bibit dengki dalam dirinya.



2. Berasa Diri Mulia.

Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu berasa keberatan kalau ada orang yang mengatasi kebolehannya. Dia tidak rela kalau ada orang lain yang melebihinya.



3. Takbur.

Orang yang mempunyai sifat takbur mempunyai watak suka membesarkan diri terhadap orang lain. Dia selalu memperkecilkan dan suka memperhambakan seseorang. Begitulah halnya dengan sikap Iblis yang takbur, lalu dia dilaknat oleh Allah S.W.T.



4. Ujub.

Allah S.W.T. telah menjelaskan kepada kita perihal umat di zaman silam. Mereka berasa takjub dengan diri mereka sendiri. Keadaan ini menghalang mereka daripada mendapatkan kebenaran.



5. Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan.

Biasanya perasaan ini wujud di kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan. Setiap orang akan berasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat sesuatu kelebihan.




6. Ghairah Untuk Menjadi Ketua dan Mencari Populariti.

Seseorang yang terlalu ghairah untuk mencari populariti atau terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan tertentu akhirnya terdedah kepada sifat hasad dengki. Apabila orang lain berjaya mendapatkan jawatan yang diidam-idamkan olehnya itu akan timbul hasad dengki.



7. Busuk Hati.

Sekiranya busuk hati ini wujud pada seseorang, akan menyebabkan orang itu tidak suka sesuatu kebaikan diperoleh oleh hamba Allah yang lain. Apabila disebutkan di hadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, hatinya menjadi sempit dan resah mendengarkannya. Tetapi apabila diketahui pihak lawannya gagal dan menerima nasib malang, dia akan berasa gembira dan suka hati.


Walau bagaimanapun dalam Islam terdapat dua perkara yang dibenarkan hasad. Jenis hasad ini dipanggil sebagai 'ghibtah' iaitu iri hati dengan kejayaan dan kemampuan seseorang lalu dia cuba bersaing secara sihat. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Tidak boleh dengki dan iri hati kecuali dalam dua perkara; iaitu iri hati terhadap orang yang dikurniai harta lalu menginfakkannya (di jalan Allah) pada malam dan siang hari, (juga iri hati) kepada orang yang diberi kepandaian membaca al-Quran lalu membacanya setiap malam dan siang" (Riwayat Bukhari dan Muslim).


Wassalam


Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.




Sunday 4 July 2010

Pandangan Manusia

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته







Empat Pandangan Manusia





Sebenarnya, manusia memandang apa sahaja di dunia dengan empat jenis pandangan:


• Pandangan mata.

• Pandangan akal.

• Pandangan nafsu.

• Pandangan mata hati.






1. Pandangan Mata

Pandangan mata, sifatnya selalu menipu. Contohnya, menerusi pandangan mata, kita melihat rel kereta api semakin jauh semakin menirus. Tetapi itu sebenarnya salah. Realitinya, rel itu tetap sama. Mata kita yang tertipu. Begitu juga kayu lurus yang dimasukkan separuh ke dalam air – kelihatan bengkok (sebenarnya ia tetap lurus). Bulan dilihat indah dari jauh tetapi kita tahu sebenarnya permukaan bulan penuh dengan lopak-lopak, lubang-lubang dan benjolan-benjolan yang tidak rata seolah-olah muka seorang yang berjerawat. Ya, begitulah, ramai manusia yang tertipu dengan pandangan mata.




2. Pandangan Akal

Pandangan akal (fikiran) pula sifatnya boleh tersalah. Berdasarkan kajian Ciaudius Ptolemy (saintis terkemuka pada zamannya), bentuk bumi adalah mendatar. Dunia ini ada hujungnya, yang mana jika sesiapa belayar sampai ke hujung dunia, dia akan terjatuh di penjuru itu. Manusia zaman itu sangat percaya kepada “pandangan akal” Ptolemy hinggakan tidak ada siapa yang berani belayar jauh, takut-takut terjerlus ke hujung dunia. Manusia pada zaman pertengahan pula percaya bahawa bumi adalah pusat edaran jagatraya (Centre of Universe).



Tetapi kepercayaan mereka disalahkan kemudiannya oleh Galileo Galilei dan Nicholas Copernicus yang menjelaskan bumi bukanlah pusat edaran bagi jagatraya tetapi matahari. Begitulah pandangan akal manusia yang saling salah menyalah antara satu sama lain. Penemuan orang terdahulu dibatalkan oleh kajian orang sekarang. Kajian orang sekarang dibatalkan pula oleh kajian orang akan datang. Akal bersifat terbatas, maka begitulah pandangannya, juga terbatas. Justeru, pandangan akal boleh tersalah.




3. Pandangan Nafsu

Pandangan ketiga ialah pandangan nafsu. Pandangan ini sifatnya melulu. Jika pandangan akal terbatas, nafsu pula selalu terbabas. Tidak ada yang dilihat oleh nafsu melainkan peluang dan ruang untuk melampiaskan kejahatannya. Sesuatu yang sudah cantik pada pandangan orang lain dipandang sebagai buruk dan keji kerana tidak mengikut selera nafsunya.





4. Pandangan Mata Hati

Pandangan yang keempat ialah pandangan mata hati. Ini adalah pandangan yang paling tepat dan hakiki. Hati pada asalnya adalah bersih dan baik. Apa sahaja yang dilihatnya akan sentiasa memberi kebaikan dengan syarat kebersihan dan kesucian hati itu terjaga.




Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang






Perkongsian artikel dengan Genta Rasa