BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday 2 June 2010

Mendisiplinkan Anak Melalui Kasih Sayang

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته





Ibubapa perlu melatih anak dengan kasih sayang, di samping mempraktikkan aspek saling menghormati, mempercayai, memahami, memberi perhatian dan menerima.





Menerapkan disiplin di kalangan anak-anak sewajarnya dilakukan tanpa menggunakan kekerasan. Pendidikan secara semikian lebih memberi kesan jika memulakannya ketika anak berada pada awal usia lagi. Dalam masa yang sama ibu bapa mestilah banyak memberi nasihat, perangsang dan pujian, bukannya menghukum secara melulu.



1. Kasih sayang dan disiplin

Disiplin dan kasih sayang tidak boleh dipisahkan. Disiplin semata-mata tanpa kasih sayang atau kasih sayang semata-mata tanpa disiplin tidak akan membuahkan hasrat yang diingini kerana disiplin merupakan satu kaedah untuk memastikan kejayaan dalam mencapai sesuatu matlamat dengan cara menghentikan perlakuan yang negatif dan seterusnya melatih anak mematuhi peraturan berdasarkan nilai-nilai yang telah ditentukan oleh ibu bapa melalui proses kasih sayang seperti penerimaan, menghormati, mempercayai, memahami, mengambil berat dan memberi perhatian.


Aspek mendisiplin juga sering dikaitkan dengan hukuman. Sebenarnya disiplin dan hukuman merupakan dua pendekatan yang jauh berbeza. Hukuman lebih terdorong kepada menyakitkan dan memalukan, yang mana kadangkala kesan hukuman tersebut akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa anak.



2. Belaian dalam ketegasan

Gabungan kasih sayang dan disiplin lebih bersesuaian digantikan dengan pendekatan belaian dalam ketegasan. Seandainya ibu bapa mengambil pendekatan belaian dalam ketegasan dan tidak bertindak secara kekerasan, maka ibu bapa inilah yang akan lebih mudah diterima oleh anak. Inilah matlamat mendisiplin melalui kasih sayang (saling memberi dan menerima dalam suasana hubungan ibu bapa dengan anak yang harmoni). Hukuman masih boleh dilaksanakan hanya jika setelah beberapa pendekatan lain tidak mendatangkan hasil.



3. Peraturan Keluarga

Peraturan keluarga merupakan satu pendekatan yang paling asas dalam mendisiplinkan anak. Anak yang terdidik dengan peraturan keluarga akan menjadi lebih bertanggungjawab dan saling hormat-menghormati. Ini akan memudahkan anak untuk mematuhi beberapa peraturan lain yang bakal ditempuhi bukan sahaja di sekolah malah di mana-mana tempat sekali pun.



3 ciri utama dalam mewujudkan peraturan adalah :


• Peraturan itu mempunyai matlamat yang mudah difahami.
• Setiap peraturan mestilah mempunyai alasan kepada limitasi-limitasi yang
telah ditentukan.
• Peraturan perlulah menitikberatkan kesan yang ditinggalkan sekiranya tidak
dipatuhi.



4. Peraturan keluarga yang konsisten

Ibu bapa perlu mewujudkan peraturan keluarga yang konsisten supaya anak dapat mengendalikan diri mereka dengan sendirinya apabila setiap peraturan yang diwujudkan itu dapat difahami dengan jelas serta tidak ada perubahan yang dilakukan secara mengejut sehingga boleh mengelirukan diri mereka. Anak bukan sahaja belajar menguruskan diri serta bersikap sabar ketika melaksanakan tugasan, malah mereka menjadi lebih bertanggungjawab apabila dewasa kelak.



5. Bertindak lebih baik daripada berjanji

Apabila mendisiplinkan anak dengan menjanjikan sesuatu ganjaran ataupun mengenakan sebarang denda, pastikan bahawa ibu bapa bertindak melakukan apa yang telah diperkatakan. Bukan itu sahaja, tindakan yang bakal diambil mestilah konsisten dengan peraturan keluarga yang telah wujudkan.

Sikap tegas perlu ada dan ibu bapa tidak boleh membiarkan perasaan simpati melemahkan ketegasan serta peraturan yang telah diwujudkan. Sebagai ibu bapa yang inginkan sesuatu kebaikan dipelajari oleh anak-anak, tindakan yang konsisten adalah lebih baik daripada kata-kata janji yang tidak ditunaikan.



6. Mendidik tanpa jemu

Mendidik anak merupakan satu kesenian dalam keibubapaan selagi ibu bapa tidak merasa jemu mempelbagaikan pendekatan yang digunakan. Ibu bapa perlu mendidik anak tanpa jemu kerana pendekatan ini boleh mengurangkan pelbagai masalah apabila nilai-nilai yang murni dapat disematkan ke jiwa anak khususnya di peringkat kanak-kanak lagi. Apabila mereka meningkat dewasa, mereka akan lebih prihatin dan dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk sebagai bekalan pada masa akan datang.



7. Lembut tapi tegas

Ibu bapa perlulah bersikap lemah lembut tetapi tegas dalam mendidik anak-anak. Kebiasaannya ibu bapa yang kurang sabar akan menggunakan cara ugutan mahupun kekerasan seperti merotan.

Cara paling baik untuk mengendalikan anak yang sedang merajuk mahupun tidak mendengar kata adalah dengan bersikap tegas. Namun ibu bapa perlulah menjelaskan kenapa sesuatu perkara atau sesuatu permintaan itu boleh atau tidak boleh dipenuhi.


8.Membentuk tingkah laku anak

Ibu bapa harus menegur anak secara terus terang supaya mesej mereka dapat mewakili perasaan serta hasrat yang tidak begitu senang dengan tingkah laku yang telah ditunjukkan oleh anak-anak mereka.

Sikap bekerjasama yang ditunjukkan oleh ibu bapa dalam melakukan sesuatu perkara bersama-sama anak mereka dapat mengukuhkan lagi hubungan ibu bapa dan anak dengan syarat tidak memarahi atau meleteri anak dengan melabelkannya dengan perkataan negatif seperti “malas”, “degil” dan sebagainya. Ketika memberi arahan, ibu bapa perlu mengawal emosi supaya nada suara tidak terlalu keras dan tidak juga terlalu lembut tetapi tegas.


9. Mengendali anak yang tidak mematuhi arahan

Ibu bapa perlu mempelajari beberapa cara untuk mengendalikan anak yang tidak mematuhi arahan dengan menggunakan pendekatan berunsur motivasi yang kadangkala meninggalkan kesan negatif bertujuan untuk menyedarkan anak supaya tidak terus berkelakuan yang boleh menimbulkan kemarahan mahupun kekecewaan ibu bapa.



4 cara untuk mendisiplinkan anak yang tidak mematuhi arahan :

• Ganjaran

• Anak-anak lebih suka menerima sesuatu ganjaran berbentuk hadiah atau pujian, namun ibu bapa perlu berhati-hati ketika memberi ganjaran supaya matlamat asal iaitu ingin membentuk tingkah laku anak tercapai.

• Tiada tindakan atau reaksi

• Kadangkala adalah lebih berkesan mendiamkan diri atau tidak menunjukkan sebarang reaksi kepada tingkah laku negatif anak. Cara ini bukan sahaja dapat menyedarkan kesilapan anak kerana ibu bapa tidak memberi perhatian mereka, bahkan juga anak akan merasakan sendiri beberapa kesan negatif yang terpaksa dihadapi ekoran
daripada tingkah lakunya yang tidak berubah.

• Beri amaran

• Amaran boleh diberi sebagai peringatan kerana kadangkala anak-anak terlupa akan sesuatu peraturan. Apabila amaran diberikan, pastikan mempunyai alasan-alasan tertentu serta hukuman ringan sekiranya diingkari.

• Mengenakan denda

• Denda merupakan sesuatu yang amat tidak disukai oleh anak-anak. Apabila sesuatu denda dikenakan, beberapa reaksi kurang senang akan dipamerkan. Ibu bapa perlu bersabar dan terus bertegas dengan pendirian sehingga tingkah laku negatif anak dapat diatasi.




10. Pujuk sudah, belai pun sudah, tapi…

Kerenah anak pelbagai ragam. Ada berpendapat mengatakan ibu bapa harus menggunakan pendekatan psikologi dalam mengendalikan anak. Namun kadang kala kesabaran ibu bapa tergugat dengan kerenah anak sehingga ada ibu bapa yang sanggup mengenepikan pendekatan psikologi dan menggantikannya dengan pendekatan “tamparlogi”.

Setiap ibu bapa perlu bersedia dan sentiasa mengingatkan dirinya supaya sentiasa bersabar untuk mengendalikan anak. Dalam kata lain, ibu bapa perlu berada satu
langkah ke hadapan memikirkan implikasi yang wujud sekiranya anak tidak dikendalikan secara pujukan, rayuan dan belaian tetapi masih dalam ketegasan
kerana sesuatu cara yang senang lagi singkat tidak bererti bahagia, dan sesuatu
cara yang susah serta memakan masa tidak bererti derita.


Penutup

Sesungguhnya tingkah laku anak-anak merupakan cerminan ibu bapa yang mengasuh serta mendidik mereka. Kadang kala puas ibu bapa memberi perhatian dan kasih sayang tetapi semakin banyak diberi, semakin tinggi pula kerenahnya. Ibu bapa
menjadi bingung, kecewa dan hilang pertimbangan apabila berhadapan dengan anak-
anak. Anak-anak dikatakan tidak ikut tunjuk ajar, sedangkan anak-anak tidak berjaya
didisiplinkan.

Dalam mendidik anak, disiplin dan kasih sayang amat penting selain menggunakan
pendekatan yang lain. Adakalanya hukuman seperti merotan digalakkan dalam
mendidik dan mendisiplinkan anak, tetapi janganlah sampai mendera mahupun parah.
Sebenarnya, ramai ibu bapa yang tidak mahu memukul anak mereka dan ibu bapa
akan berasa sedih serta menyesal apabila mengambil tindakan tersebut. Lazimnya,
tindakan itu diambil dengan harapan anak-anak berubah dan ibu bapa juga mungkin
beranggapan bahawa inilah cara yang terbaik untuk mendisiplinkan anak. Sekiranya ibu bapa tidak mahu beberapa kesan sampingan tertanam dalam diri anak, tindakan ini
perlulah dielakkan sebaik mungkin.




Aku hidup dalam kenangan ,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.






0 comments: