BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Friday 11 June 2010

Pentingnya Aqidah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Iman adalah harta yang sangat bernilai. Ia bukan sesuatu yang boleh diwarisi atau dijual beli. Ia adalah anugerah Allah yang patut disyukuri dan dipelihara.
 
Kerana itulah, Nabi Yaaqub alaihissalam sekalipun bernasabkan para Nabi dan memiliki keturunan juga di kalangan para Nabi cukup bimbang akan keselamatan akidah anak cucu baginda. Ini diceritakan di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 133 yang maksudnya:

(Demikianlah wasiat Nabi Yaaqub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi) Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaaqub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati? Mereka menjawab:Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishaq, iaitu Tuhan Maha Esa, dan kepada-Nyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman).

Kerana akidah juga, para Nabi dan rasul sanggup menerima apa jua rintangan dan bebanan demi memperjuangkannya. Dari Nabi Adam alaihissalam hinggalah kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam semuanya telah berusaha memelihara akidah umat mereka agar tidak terpesong ke jalan sesat. Penghijrahan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dari Mekah ke Madinah umpamanya bertujuan untuk membentuk umat Islam yang baru berpegang kepada ajaran agama Islam.

Kepentingan akidah dan perjuangan mempertahankannya ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dari Abu Hurairah radiallahu anhu yang bermaksud:Rasulullah sallallahu alaihi wasallam ditanya:Apakah amal yang paling utama? Rasulullah menjawab:Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Baginda ditanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab:Jihad fi sabilillah.

Akidah yang merupakan simpulan iman akan menyuntikkan semangat perjuangan, menyuburkan daya saing dan memupuk perpaduan di kalangan umat Islam. Ini kerana, iman yang tersimpul erat di dalam hati mendorong seseorang untuk berusaha, bekerja keras, melakukan kebajikan, membantu orang, membina kemajuan, menunaikan tanggungjawab, sanggup berkorban dan sebagainya demi mengaut seberapa banyak pahala kebajikan.

Umat Islam yang tidak mempunyai akidah yang kukuh akan mudah terpesong dan menyeleweng dari ajaran agamanya yang sebenar. Bukan itu saja, ia akan menjadi anggota masyarakat yang tamak kerana cintakan dunia, pengecut kerana takutkan manusia, liar kerana tiada pegangan, tidak jujur kerana tidak mengenal dosa dan membawa pelbagai lagi masalah dan kerosakan yang merugikan pelbagai pihak.

Begitu juga segala pembangunan dan kemajuan yang dibina oleh umat Islam, jika tidak didasari oleh kekukuhan akidah, ia hanya akan membawa kepada pelbagai kekalutan di tengah-tengah masyarakat. Ini kerana, akidah adalah asas kepada kesejahteraan dan petunjuk dari Allah.

Ini dijelaskan dalam fiman Allah subhanahu wataala dalam surah al-Anaam ayat 82 yang tafsirnya:Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah dan petunjuk.

Akidah juga adalah tunjang segala amalan dan benteng pertahanan yang kukuh daripada segala perkara yang merosakkan. Jika akidah seseorang itu tidak betul, maka segala amalan yang dilakukannya menjadi sia-sia belaka, manakala di akhirat pula akan dimasukkan ke dalam api neraka.

Firman Allah subhanahu wataala dalam surah al-Anbiyaa ayat 94 yang tafsirnya: Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya; dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya.

Namun kepentingan akidah kurang diambil perhatian oleh sebilangan umat Islam masa kini. Mereka lebih bimbangkan nasib anak bangsa dan anak cucu mereka akan menjadi miskin harta dan tanah setelah mereka tiada nanti.

Tetapi adakah ramai dari kalangan umat Islam yang bimbangkan nasib anak cucu mereka jika mereka miskin iman dan jiwa? Kita yang berada di akhir zaman ini, sepatutnya lebih bimbang lagi akan keutuhan akidah anak-anak kita. Kita patut insaf betapa pentingnya akidah dalam menentukan nasib dan maruah bangsa.

Sebagai umat Islam yang inginkan kesejahteraan hidup di dunia dan keselamatan di akhirat, kita hendaklah menjadi masyarakat Islam yang memelihara dan menegakkan akidah dan syariat Islam. Bagi memelihara dan memperkukuhkan akidah pula ia hendaklah dibina atas dasar iman yang kukuh, dibajai dengan ilmu dan amal serta dipelihara dari dicemari oleh sebarang serangan anasir dan gejala penyelewengan dan kesesatan.

Berdoalah di samping segala usaha yang lain dalam mempertahankan keutuhan akidah Islam. Sabda Nabi sallallahu alaihi wasallam daripada Ali radiallahu anhu yang bermaksud: Doa adalah senjata orang mukmin, tiang kepada agama dan cahaya kepada langit dan bumi.(Riwayat al-Imam al-Hakim).




Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.



0 comments: